Sunday, December 25, 2016

MISKIN BUKAN PENGHALANG KEJAYAAN



MISKIN BUKAN PENGHALANG KEJAYAAN
Aku  anak seorang petani. Namaku Faridah binti Ahmad.Aku berusia 10 tahun dan merupakan anak sulung daripada 6 orang adik-beradik.Aku tinggal di Kampung Simpang Darat.
            Walaupun hidupku ibarat ‘kais pagi makan pagi,kais petang makan petang.’ Hubungan kekeluargaan antara kami amat erat.Ayah bekerja mengambil upah sebagai penoreh getah.Ayah sentiasa memberi sepenuh perhatian kepada kami.Ibu pula seorang suri rumah yang penyayang.Walaupun hidup kami susah,ibu tidak pernah mengeluh.Ibu sentiasa sabar melayan karenah kami adik-beradik.Ibu sentiasa memberi dorongan kepada kami agar berjaya  dalam pelajaran.
            Sesungguhnya, pengalaman hidup ini telah banyak mengajarku agar berjuang untuk mencapai kejayaan. Kata-kata semangat guru “miskin bukan penghalang kejayaan” akan kusematkan ke dalam jiwa. Akan kubuktikan bahawa aku juga mampu berjaya. Aku akan terus berusaha untuk mencapai cita-citaku iaitu menjadi seorang doktor.
            Harapan ayah dan ibu yang ingin melihat aku berjaya juga akan aku tunaikan. Aku membuat persediaan awal untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Aku ingin mendapat keputusan yang cemerlang.Di sekolah, aku sentiasa menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar. Aku akan bertanya kepada guru jika aku tidak memahami apa yang telah diajar. Di rumah pula, aku menyediakan jadual waktu untuk belajar. Selain itu, aku belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh.
            Kegiatan sukan di sekolah tidak aku lupakan. Aku amat aktif dalam olahraga. Aku selalu menjadi johan dalam acara 100 meter. Dengan bersukan badanku akan mengeluarkan peluh dan ini akan membuatkan badanku cergas. Otakku pula menjadi cerdas. Justeru, aku akan dapat belajar dengan selesa.
            Di samping itu, aku bertekad untuk mengubah nasib keluargaku. Aku ingin keluargaku hidup selesa. Untuk mencapai impian itu, aku berjanji akan belajar dengan gigih dan menjadi model yang terbaik buat adik-adikku. Kemiskinan tidak akan kujadikan alasan untuk gagal dalam pelajaran.
            Aku akan membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan. Ya, aku boleh berjaya, akan aku buktikan.
            Pengajaran daripada cerita ini ialah kita perlulah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Di samping itu, kita mesilah menghormati guru dengan menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar.Selain itu, kita haruslah mempunyai cita-cita iaitu seperti ingin menjadi seorang doktor. Seterusnya kita hendaklah menjaga kesihatan dengan aktif dalam kegiatan sukan. Akhir sekali, kita mestilah mempunyai sifat penyayang yang menyayangi semua ahli keluarga.
Sumber : Buku teks bahasa Melayu Tahun 4

                       

No comments: