Friday, October 23, 2009

Usaha-usaha yang telah diambil oleh Kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kaum melalui bidang pendidikan sejak merdeka.

Definisi perpaduan
Perpaduan boleh diertikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air.

Usaha-usaha yang telah diambil oleh Kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kaum melalui bidang pendidikan sejak merdeka.
Corak pemerintahan penjajah telah menyebabkan wujudnya masyarakat majmuk. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, jurang akan semakin luas dan akan boleh menimbulkan timbulnya ketegangan antara kaum. Oleh itu kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk mewujudkan perpaduan melalui bidang pendidikan. Antara usaha-usaha dan langkah-langkah yang diambil ialah membentuk sebuah jawatankuasa pendidikan untuk mengkaji Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diterima oleh semua rakyat.

Penyata Razak
Menteri Pelajaran ketika itu Y.B. Dato' Tun Abdul Razak Hussein menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran dan mengesyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan dan laporan ini dikenali sebagai Penyata Razak (1956). Penyata ini menekankan perpaduan kaum dan penghasilan tenaga.
Penyata Razak ini memberi garis panduan tentang dasar pelajaran yang dicadangkan dan ia diterbitkan pada bulan April 1956.Cadangan-cadangan dalam penyata tersebut telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957. Antara cadangannya ialah:
a) Mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK).
b) SRK menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dengan Bahasa Inggeris wajib dipelajari. SRJK pula menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar dengan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris wajib dipelajari.
c) Murid-murid berketurunan cina dan India dibenarkan mempelajari bahasa ibunda masing-masing, jika terdapat sekurang-kurangnya 15 orang murid yang mempelajari bahasa tersebut.
d) Mengadakan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dan Sijil Pelajaran Persekutuan bagi tingkatan tiga dan tingkatan lima yang akan diambil oleh semua murid sekolah menengah.
e) Satu Lembaga Pelajaran Tempatan akan ditubuhkan yang bertanggungjawab ke atas pelajaran rendah dan pertukangan.
Tujuan Penyata Razak pula adalah untuk:
a) Menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah
b) Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu
c) Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.
d) Menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, terlatih, liberal dan progresif.
e) Mewujudkan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan
f) Mewujudkan masyarakat yang bertoleransi, berdisplin, terlatih , lieral dan progresif
g) Memenuhi keperluan negara yang merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan
Pada tahun 1959, satu Jawatankuasa Penyemak Pelajaran ditubuhkanuntuk mengkaji semula pelaksanaan system pelajaran yang dicadangkan oleh Laporan Razak. Kajian ini dilakukan kerana beberapa bantahan dibuat terhadap pelaksanaan Penyata Razak.

Laporan Rahman Talib (1960)
Di antara beberapa perubahan dan pindaan yang dibuat dari Laporan Razak yang dikenali dengan Laporan Rahman Talib ialah:
a) Pelajaran di sekolah rendah adalah percuma.
b) Sekolah rendah menjadi sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.
c) Sekolah pelajaran lanjutan merupakan persekolahan hingga umur 15 tahun.
d) Murid naik darjah secara automatik.
e) Pelajaran agama Islam bagi murid-murid hendaklah sekurang-kurannya 15 orang.
f) Pendidikan akhlak dititikberatkan.
Selepas itu Sistem Pendidikan Anika Jurusan ditubuhkan pada 1965 bagi Sekolah Menengah Rendah menggantikan Sistem Pelajaran Lanjutan yang dihapuskan. Mata pelajaran aneka jurusan di sekolah menengah pada waktu itu ialah Seni Perusahaan, Sains Rumah tangga, Sains Pertanian dan Perdagangan.

Akta Pendidikan 1961
Walaupun hasrat dan tujuan Akta Pendidikan 1961 ini untuk menyatukan kaum yang ada di Malaysia ini, tetapi secara praktikalnya, sukar untuk mencapai matlamat itu memandangkan pola tempat tinggal yang berlainan. Misalnya orang Melayu tinggal di kampung-kampung dan pinggir pantai, kaum Cina tiggal di kawasan perlombongan dan kaum India di kawasan ladang-ladang getah. Dengan ini tentulah amat sukar untuk menyatukan mereka.
Selepas dari Laporan Rahman Talib 1960, muncul pula laporan-laporan seperti Laporan Hussein Onn (1971) dan Laporan Mahathir 1976. Kedua-dua Laporan ini adalah untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara yang sebelumnya berdasarkan Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib



Laporan Hussein Onn (1971)
Jawatankuasa laporan ini diketuai oleh Hussein Onn yang menjadi Menteri Pelajaran ketika itu.Tujuan utama Laporan ini selain dari untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara ketika itu, juga adalah untuk menyediakan pendidikan dasar bagi semua kanak-kanak dalam lingkungan umur bersekolah. Ini dapat ditampung dalam sekolah-sekolah aliran Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.
Ketika itu, di sekolah-sekola kerajaan dan bantuan kerajaan masih dijalankan dalam dua bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Menurut laporan ini:
"Sistem pendidikan kebangsaan direkabentuk untuk memenuhi keperluan negara dan mempertingkatkan pembangunan budaya, sosial. Ekonomi dan politik. Jadi mulai 1968 bahasa Melayu telah mula menggantikan bahasa Inggeris secara berperingkat-peringkat sebagai baasa pengantar di sekolah-sekolah aliran Inggeris.
Walaupun kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara, namun kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua turut dipelihara. Ini di atas rasa kesedaran bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang amat penting dan penguasaan bahasa itu boleh mempertingkatkan pembangunan negara.
Bahasa Inggeris adalah diwajibkan di semua sekolahh kerana kepentingannya dalam pendidikan tinggi ddan perdagangan dan juga hal- ehwal antarabangsa. Peringkat penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi menjadi sasaran sistem pendidikan. Masa mengajar bahasa Inggeris ditambah dan guru-guru diberi latihan untuk hasil yang baik. Bahasa Inggeris terus menjadi bahasa kedua.

Laporan Mahathir (1985)
Pada bulan september 1974, kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri, Dr, Mahathir Mohamad. Laporan ini bertujuan untuk mengkaji semula matlamat-matlamat dan keberkesanan sistem pendidikan yang diamalkan sekarang, dengan tujuan memastikan keperluan tenaga manusia negara dipenuhi dalam jangka pendek dan jangka panjang di samping untuk memastikan sistem pendidikan ini memenuhi matlamat negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu, berdisiplin dan terlatih.
Tujuan laporan ini adalah sama dengan apa yang didapati dalam laporan Husein Onn. Matlamat utama tidak lain dan tidak bukan untuk menyatupadukan rakyat seperti yang terdapat dalam Akta Pendidikan 1961. Sebagai langkah utama alat perpaduan ialah pendidikan. Input penting dalam pendidikan ini ialah bahasa. Oleh itu aspek bahasa telah menjadi penekanan. Dalam Laporan ini matlamat pendidikan bahasa Malaysia (Bahasa Melayu) sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi utama dan bahasa untuk menyatukan rakyat haruslah lengkap dan jelas supaya guru-guru mendapat gambaran yang sebenar sebagai panduan pengajaran harian mereka.
Dalam laporan ini kursus bahasa Malaysia dalam perkhidmatan kepada guru-guru harus dikaji semula dan penilaian terhadap keupayaan mereka yang telah mengikuti kursus tersebut harus dijalankan secepat mungkin. Kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tetap dijamin. Ada dua tujuan bahasa Inggeris diajar diinstitusi pendidikan pada waktu itu:
a) Untuk membolehkan murid-murid menggunakan bahasa tersebut dalam kerja dan aktivitinya.
b) Untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka untuk digunakan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Akta Pendidikan 1996
Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan Akta Pendidikan Kebangsaan yang digubal setelah mengambilkira pandangan dan aspirasi semua pihak. Dalam Akta Pendidikan, konsep sistem pendidikan kebangsaan dimantapkan dengan meliputi semua peringkat persekolahan dari peringkat pra sekolah hingga ke peringkat pendidikan tinggi, dan meliputi semua kategori sekolah, iaitu sekolah kerajaan , sekolah bantuan kerajaan dan sekolah swasta.
Kedudukan Bahasa kebangsaan diperkukuhkan dengan memperuntukkannya sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Ini diperkuatkan lagi dengan menjadikan bahasa tersebut sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di semua sekolah dan institusi pendidikan.Kurikulum semua jenis dan kategori sekolah akan selaras dengan kehendak negara apabila Kurikulum Kebangsaan, yang diperuntukkan dalam Akta Pendididkan 1996 wajib diguna oleh semua pihak.Murid-murid dari semua jenis dan kategori sekolah akan disediakan untuk mengambil peperiksaan yang ditetapkan oleh kerajaan dan oleh itu akan memudahkan kita menggunakan penilaian atau pengukuran yang sama tentang pencapaian murid-murid dari sekolah-sekolah di negara kita.
Pendidikan Islam akan diperluaskan utnuk meliputi murid-murid Islam di semua kategori sekolah termasuk sekolah swasta dan diperkukuhkan dengan menjadi pelajaran tersebut sebagai salah satu daripada pelajaran teras di sekolah-sekolah.Dengan adanya peruntukan yang membolehkan Menteri Pendidikan menubuhkan dan menyenggara tadika, maka dari keluarga yang kurang berada di bandar-bandar, akan berpeluang mendapat pendidikan prasekolah yang menjadi asas yang baik bagi memulakan pendidikan rendah.
Mutu Program pendidikan di semua tadika juga akan dapat dipertingkatkan kerana tadika-tadika ini akan diwajibkan menggunakan Garis Panduan Kurikulum Prasekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.Sejajar dengan penumpuan terhadap usaha membudayakan pendidikan sains dan teknologi, pendidikan teknik akan dipertingkatkan di sekolah menengah teknik dan politeknik. Akta Pendidikan 1996 memudahkan sekolah vokasional ditukartarafkan ke sekolah teknik, manakala politeknik boleh mengadakan program kerjasama dengan mana-mana institusi, perbadanan atau organisasi perindustrian untuk mengendalikan kursus teknik atau vokasional atau program latihan, termasuk program pertukaran. Politeknik juga boleh mengadakan program bekembar bagi kursus peringkat diploma dan ijazah dengan institusi-institusi pendidikan tinggi, sama ada dalam negeri atau luar negeri.
Pendidikan guru akan dapat diperrkukuhkan dengan adanya peruntukan yang membolehkan Kementerian Pendidikan mengadakan progam pendidikan guru bukan sahaja di peringkat sijil, tetapi juga di peringkat diploma dan ijazah, iaitu secara berkembar.Pendidikan swasta akan dapat berkembang secara lebih sistematik dengan adanya peruntukan yang spesifik bagi mengawal taraf pendidikan dan perjalanan institusi-institusi tersebut. Dalam pada itu, institusi pendidikan swasta juga boleh dikehendaki mengadakan pengajaran Bahasa Kebangsaan, Pengajian Malaysia dan Pendidikan Islam atau Moral untuk memupuk semangat cintakan negara dan nilai-nilai murni.Pendidikan khas akan diberi perhatian yang lebih dengan adanya peruntukan yang cukup bagi pendidikan tersebut.
Menyedari bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, dan berdasarkan pemuafakatan politik yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin negara yang dahulu, Akta Pendidikan 1996 mengambilkira kepentingan semua kaum dengan cara mengekalkan status quo sekolah rendah jenis kebangsaan dan juga 60 buah sekolah Cina swasta. Di samping itu Unified Examination yang diambil oleh sekolah-sekolah ini serta lembaga pengelola sekolah conforming dan sekolah mission dikekalkan.Akta Pendidikan 1996 juga turut memperuntukkan pengajaran bahasa suku kaum di negara ini sekiranya didapati munasabah dan praktik diadakan. Kelas-kelas agama seperti bible classes tidak diperlukan mendaftar di bawah Akta Pendidikan 1996.

Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979
Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, dibentuk adalah hasil daripada maklum balas dan laporan daripada Jawatankuasa Kabinet tahun 1974.
Pembentukan Jawatankuasa Kabinet tahun 1974, adalah kerana berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, pembentukan Rukunegara, 1970 dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru, 1970. Peristiwa-peristiwa tersebut, telah mendorong kerajaan mengkaji semula dasar pendidikan kebangsaan sebelum ini yang kurang menitikberatkan perpaduan negara dan memajukan aspek sosial, ekonomi dan politik untuk membangunkan bangsa dan negara.
Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, yang menitikberatkan aspek nilai hanya diistiharkan pada tahun 1998 dan dijelmakan secara rasmi melalui Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1988.Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan Negara tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1996 Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, berbunyi “ Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruhdan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara”.
Selain itu, Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979 juga, telah menetapkan secara tersurat dan tersirat penentuan wajah dan jenis warganegara Malaysia yang perlu dibentuk melalui sistem pendidikan di Malaysia. Keperihatinan dan hasrat Jawatankuasa tersebut dirakamkan seperti berikut :“ Mereka bukan sahaja perlu cekap bahkan perlu boleh berfikir dan bertindak dengan baik sama ada secara sendiri mahu pun secara beramai-ramai dengan berpandukan punca-punca akhlak yang mulia. Tegasnya individu yang lahir dari sistem persekolahan negara perlu selaras dengan tujuan pembangunan kemanusiaan.
Ringkasnya, berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, peranan pendidikan tidak lagi hanya ditumpukan kepada perpaduan negara dan pengeluaran sumber tenaga manusia, tetapi pendidikan turut ditumpukan kepada pembentukan keperibadian insan selaras dengan pembangunan kemanusiaan.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, telah menetapkan matlamat pendidikan negara dengan jelas, iaitu pendidikan ke arah melahirkan insan, masyarakat dan warganegara yang baik. Pada asasnya, insan baik yang hendak dilahirkan itu perlu memiliki yang ciri-ciri berikut :
a) Percaya dan patuh kepada tuhan.
b) Berilmu pengetahuan dan berketrampilan.
c) Berakhlak mulia.
d) Bertanggung jawab kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
e) Berbakti dan bersedia memberi sumbangan kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Laporan Jawatankuasa Kabinet membuat kajian selama lima tahun dan diterbitkan pada tahun 1979. Laporan ini mencadangkan beberapa perubahan kepada system pendidikan kebangsaan. Antara cadangannya ialah:
a) Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dijadikan matapelajaran wajib di sekolah-sekolah. Peluang untuk mempelajari bahasa Cina dan bahasa Tamil juga disediakan.
b) Mengadakan kurikulum dan system peperiksaan yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua sekolah.
c) Menyediakan peluang pendidikan asas selama Sembilan tahun, disamping meluaskan pendidikan teknik dan vokasional.
d) Memperkenalkan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baharu Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu menulis, membaca dan mengira.
e) Mempelbagaikan kemudahan pendidikan diperingkat universiti, terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan serta menggalakkan kegiatan ko-kurikulum bagi memupuk disiplin seperti pasukan kadet tentera dan pengakap.

KESIMPULAN
Perpaduan merupakan perkara yang paling perlu dalam sesebuah Negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia. Kemajmukan ini adalah satu ciri yang unik yang jarang dimiliki oleh Negara-negara lain. Apabila dalam keadaan masing-masing kaum bebas merencanakan aktiviti mereka masing-masing selagi ia tidak bercanggah dengan kepentingan nasional dan undang-undang. Kemajmukan ini akan dapat diolah sebagai suatu nilai tambah yang istimewa jika masyarakat Malaysia membuktikan semangat perpaduan yang jitu dan utuh.




Sumber: Internet

No comments: